Tuesday, November 2, 2010

Aktiviti yang dijalankan untuk Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan





Karya kesenian yang dilukis oleh pelajar pada dinding-dinding sekolah pada minggu kemerdekaan

Wednesday, October 13, 2010

Wawasan 2020

Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustriandan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.

Antara cabaran wawasan 2020:

Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:

  1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
  2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
  3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
  4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
  5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
  8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
  9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Sunday, October 3, 2010

Sejarah ASEAN


ASEAN ditubuhkan oleh lima negara pengasas; Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand di Bangkok semasa proses penandatanganan satu perjanjian yang dikenali sebagai Deklarasi Bangkok. Menteri luar ketika itu ialah Adam Malik (Indonesia), Narciso R. Ramos (Filipina), Tun Abdul Razak (Malaysia), S. Rajaratnam (Singapura), dan Thanat Khoman (Thailand).

Brunei menganggotai ASEAN pada 8 Januari 1984 iaitu seminggu selepas mencapai kemerdekan. Hanya selepas 11 tahun kemudiannya ASEAN menerima ahli baru. Vietnam menjadi anggota yang ketujuh pada 28 Julai 1995, Laos dan Myanmar menjadi ahli dua tahun kemudianya, iaitu pada 23 Julai 1997. Walaupun Kemboja sudah menyertai ASEAN bersama-sama Myanmar dan Laos, Kemboja terpaksa menarik diri disebabkan masalah politik dalam negara tersebut. Namun, dua tahun kemudiannya Kemboja menyertai semula ASEAN pada 30 April 1999.

Friday, October 1, 2010

Lambang Negara

Lambang Malaysia, atau Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu menandakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).
Bahagian sebelah kiri perisai itu (pokok Pinang) menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka menandakan Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal.


Jata Negara Malaysia yang asal.
Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunga Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang ditunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia. Slogan, "Bersekutu Bertambah Mutu" ditulis dengan tulisan Rumi di sebelah kiri dan tulisan Jawi di sebelah kanan.
Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Monday, February 22, 2010

Kebudayaan Malaysia

Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum yang hidup dalam keadaan aman dan damai. Tiga kaum yang utama di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Melayu merupakan kaum terbesar dengan membentuk 54% daripada populasi Malaysia. Melayu adalah satu kaum yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Kaum Melayu mempunyai pengaruh yang penting dalam arena politik di Malaysia. Cina pula mewakili 25% daripada penduduk Malaysia dan tinggal di bandar-bandar besar di pantai barat semenanjung. Kebanyakan kaum Cina beragama Buddha, Taoisme atau Kristian, berbahasa Mandarin, Hokkien, Hakka, Kantonis atau Teochew dan lebih dominan dalam bidang ekonomi. India pula membentuk 7.5% daripada populasi. Kebanyakannya beragama Hindu, bertutur Tamil, Malayalam, dan Hindi. Selain itu, terdapat juga kaum Sikh, Serani atau Eurasian dan kaum bumiputera lain. Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi Malaysia, tetapi Bahasa Inggeris digunakan secara meluas.

Kaum Bumiputera yang terbesar di Sarawak ialah Iban dengan 600,000 orang. Mereka tinggal di rumah panjang, dan menetap di sepanjang Sungai Rajang dan Sungai Lupar. Orang Bidayuh pula seramai 170,000 oarng tinggal di barat daya Sarawak. Orang Asli (140,000) tinggal di Semenanjung Malaysia. Dahulunya mereka merupakan pengumpul hasil hutan, hidup berpindah-randah, dan bercucuk tanam, tetapi kini sudah diserap ke dalam kehidupan moden Malaysia. Walaubagaimanapun, mereka kekal sebagai kumpulan etnik yang mempunyai pendapatan terendah berbanding kumpulan etnik yang lain. Kemungkinannya ini disebabkan sistem ekonomi mereka yang tidak bergantung kepada wang tunai, contohnya makanan dan rumah sebahagiannya dihasilkan dari keluaran hutan tanpa perlu dibeli. Bagaimanapun pihak kerajaan menawarkan peluang pelajaran yang samarata dan ada di antara mereka kini menjawat jawatan profesional seperti doktor.

Muzik Malaysia merangkumi muzik tradisional dan kontemporari yang dimainkan oleh rakyat Malaysia. Muzik tradisional banyak dipengaruhi oleh budaya Cina, Islam, India dan Indonesia. Kebanyakan alat muzik terdiri daripada gendang, seruling, gong dan sebagainya. Negara ini mempunyai tradisi yang kuat dalam tarian, sesetengahnya berasal daripada Thai, India, dan Portugis. Selain itu, ada juga wayang kulit, silat, dan barangan kraf seperti batik, sulaman, dan barangan perak dan tembaga.

Seperti rakyatnya, makanan di Malaysia adalah pelbagai, dari makanan berat seperti nasi lemak hinggalah yang ringan seperti kuih.

Sistem Politik Malaysia

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan. Malaysia diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada sembilan sultan negeri Melayu untuk berkhidmat selama lima tahun sebagai Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Sistem ini adalah berdasarkan sistem Westminster kerana Malaysia merupakan bekas tanah jajahan British. Kuasa eksekutif ditetapkan oleh kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri. Berdasarkan perlembagaan Malaysia, Perdana Menteri mestilah seorang anggota Dewan Rakyat, yang pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, memimpin kumpulan majoriti dalam parlimen. Manakala kabinet merupakan ahli parlimen yang dipilih daripada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Bangunan parlimen di Kuala Lumpur

Malaysia mengamal sistem parlimen dwidewan: Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Negara mempunyai 70 orang yang terpilih selama 3 tahun. Pemilihan ahlinya boleh dibahagikan kepada dua: 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri. 44 ahli lagi dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Dewan Rakyat pula mempunyai seramai 222 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama 5 tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan.

Kuasa perundangan dibahagi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Ini ditentukan oleh parlimen. Undang-undang tertinggi ialah Perlembagaan Malaysia dan ini memerlukan majoriti dua pertiga untuk diubah. Walau bagaimanapun, peratusan ahli pihak pemerintah sentiasa melebihi nisbah ini. Undang-undang kedua ialah undang-undang syariah yang menumpukan pada orang Islam di Malaysia. Sultan merupakan ketua agama Islam dan kuasa ini tertakluk kepada baginda kerajaan negeri. tidak memeranjatkan, undang-undang syariah ini agak berbeza mengikut negeri.

Sistem legaliti Malaysia berasaskan undang-undang British. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada undang-undang dan konstitusi telah diambil dari undang-undang India. Mahkamah Persekutuan mengkaji kembali keputusan yang rujuk daripada Mahkamah Rayuan; ia mempunyai jurisdiksi asal dalam hal-hal konstitusi dan dalam perselisihan di antara negeri-negeri atau di antara kerajaan persekutuan dan sesuatu negeri. Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak setiap satunya mempunyah mahkamah tinggi. Kerajaan Persekutuan mempunyai autoriti terhadap hal-hal luar negara, pertahanan, keselamatan dalam negeri, keadilan (kecuali kes-kes undang-undang sivil di kalangan orang Melayu dan orang-orang Muslims yang lain dan juga orang-orang asli, yang diletakkan di bawah undang-undang Islam dan tra tradisi), warganegara persekutuan, kewangan, perdagangan, industri, komunikasi, penngangkutan, dan hal-hal lain.

Tuesday, February 16, 2010

Kemajuan Negara Kita

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur merupakan salah satu hab penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara selain Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura. Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang utama di Malaysia dan merupakan yang terbesar di negara ini. Ia terletak di daerah Sepang, Selangor dan hampir 50 kilometer jaraknya dari ibu negara, Kuala Lumpur. Dibina dengan kos mencecah AS$ 3.5 bilion, KLIA akhirnya dibuka secara rasmi pada 27 Jun 1998. Lapangan terbang ini boleh menampung sebanyak 35 juta penumpang setahun dan 1.2 juta tan metrik kargo dalam fasa pembinaannya sekarang. Lapangan terbang ini telah menduduki tempat yang ke-13 di dunia dari segi bilangan penumpang asing di mana sebanyak 24,129,748 penumpang telah menggunakan lapangan terbang ini pada tahun 2006. Pada tahun yang sama, lapangan terbang ini juga telah mengendalikan 677,446 tan metrik kargo untuk menduduki tempat ke-30 di dunia dari segi pengendalian kargo.

Lapangan terbang ini diuruskan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan merupakan hab utama bagi Malaysia Airlines, MASkargo, AirAsia dan AirAsia X. KLIA juga merupakan perhentian untuk "Laluan Kanggaru" bagi Malaysia Airlines. Slogan lapangan terbang ini ialah "Membawa Dunia Ke Malaysia Dan Malaysia Ke Dunia" (Bringing the World to Malaysia and Malaysia to the World).

Kod IATA untuk lapangan terbang ini, KUL sebenarnya diambil daripada lapangan terbang utama Malaysia yang terdahulu, Lapangan Terbang Subang.

Lapangan terbang ini berkonsepkan "lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang". Keadaan ini dapat memberi ketenangan kepada penumpang dan memperkenalkan suasana hutan Malaysia kepada pelancong luar negara.

KLIA mempunyai satu Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) yang mula beroperasi pada 26 Mac 2006 bagi menampung penumpang yang menaiki AirAsia dan juga penerbangan tambang rendah yang lain.

Pelan pembinaan KLIA bermula pada tahun 1990 apabila kerajaan sedar bahawa lapangan terbang utama pada waktu itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) tidak akan mampu menampung permintaan apabila bilangan penumpang meningkat di masa hadapan. Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, Dato' Seri Mahathir bin Mohamad merupakan orang yang paling kuat menyokong pembinaan lapantan terbang ini yang akan menjadi komponen utama dalam Koridor Raya Multimedia.

Keputusan ini mencetuskan kontroversi. Lokasinya yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Kuala Lumpur dilihat sebagai tidak menyenangkan di samping kos pembinaan yang meningkat melebihi takrifan awal. Para pengkritik juga mengatakan Subang masih boleh diperbesarkan diwalaupun kerajaan menyatakan sebaliknya. Dalam masa yang sama, kerja-kerja di Subang diteruskan semasa pembinaan KLIA. Terminal 3, terbaru di Subang dibuka pada Disember 1993 dan Terminal 2 telah diubahsuai pada 1995, hanya tiga tahun sebelum pembukaan KLIA.

Dengan tapak pembinaan seluas 100km2, tapak pembinaan KLIA merupakan antara yang terbesar di dunia. Ia dibina di atas tanah pertanian dan tidak memerlukan pengambilan tanah kepunyaan persendirian. Plan Master KLIA adalah termasuk pembinaan lima landasan terbang, dua terminal penumpang dan dua terminal satelit bagi setiap terminal dalam tiga fasa. Fasa Pertama pembinaan termasuk pembinaan satu terminal utama diikuti dengan satu terminal satelit yang mampu menampung sebanyak 25 juta penumpang setiap tahun dan dua landasan terbang yang berfungsi sepenuhnya. Dibawah perlaksanaan Fasa Pertama, sebanyak 60 pintu penerbangan, 20 tapak pesawat tanpa pintu dengan 80 tapak pesawat, 4 hangar penyelengaraan dan 4 stesen bomba akan dibina. Perlaksanaan Fasa Kedua dan Ketiga merupakan projek pembesaran lapangan terbang sedia ada untuk menampung bilangan penumpang yang akan meningkat. Akhirnya, lapangan terbang ini akan mampu menampung sebanyak 100 juta penumpang setiap tahun apabila keseluruhan projek telah siap.

Dengan tenaga 25,000 orang buruh bekerja 24 jam sehari, lapangan terbang ini telah siap dibina selama empat setengah tahun. Lapangan terbang ini dibuka secara rasmi pada 27 Jun 1998, seminggu lebih awal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong tetapi semua penerbangan dipindahkan dari Subang tiga hari kemudiannya pada 30 Jun 1998. Penerbangan domestik yang pertama tiba di KLIA adalah Malaysia Airlines MH1263 dari Kuantan pada jam 7.10 pagi dan penerbangan antarabangsa pertama tiba di KLIA juga merupakan penerbangan Malaysia Airlines MH188 dari Maldives pada jam 7.30 pagi.

Pembukaan lapangan terbang ini diikuti pelbagai masalah. Sistem pembahagian tapak pesawat dan jeti penghubung terganggu, kesesakan berlaku dalam setiap bahagian lapangan terbang, dan pengurusan bagasi juga terganggu dengan penumpang yang kehilangan bagasi terpaksa menunggu hampir 5 jam untuk bagasi mereka. Kebanyakan masalah ini berjaya diselesaikan, namun sistem bagasi terus menghadapi masalah demi masalah dan kini ia diletakkan sebagai tender untuk mencari pengurusan baru pada 2007.

Lapangan terbang ini juga terpaksa menghadapi krisis kewangan Asia Timur, penyakit SARS dan wabak selsema burung yang memberi impak negatif terhadap trafik penumpang di Malaysia. Pertumbuhan trafik adalah negatif semasa krisis kewangan tersebut kerana kebanyakan syarikat penerbangan lain yang telah beroperasi di KLIA seperti All Nippon Airways, British Airways, Lufthansa, dan Northwest Airlines terpaksa menghentikan operasi setelah mengalami kerugian. Fasa Pertama lapangan terbang ini mensasarkan bilangan penumpang sebanyak 25 juta setahun tetapi pada tahun pertama operasi KLIA, bilangan penumpang hanya mencecah 13.2 juta penumpang. Walaubagaimana pun, trafik penumpang akhirnya meningkat kepada 21.1 juta penumpang pada tahun 2004 dan 23.2 juta penumpang pada tahun 2005 - walaupun masih tidak mencapai sasaran 25 juta penumpang bagi tahun 2003.

Pada tahun 2007, KLIA telah dianugerahkan sebagai lapangan terbang terbaik bagi kategori 15-25 juta penumpang dan tempat ketiga bagi lapangan terbang terbaik di Asia Pasifik dan Dunia. Anugerah ini disampaikan oleh Airports Council International Airport Service Quality (ACI-ASQ).

Nama Kuala Lumpur International Airport juga merupakan nama alternatif terdahulu bagi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) di Subang.

1MALAYSIA

Satu Malaysia atau '1Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan. Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat semalaman tetapi secara evolusi.

Ia adalah kesinambungan konsep daripada dua kepimpinan terdahulu dalam membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu sama lain.Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui '1Malaysia'. Hubungan kaum dipereratkan bagi jangka masa panjang.[2] Tiada perbezaan antara bandar, luar bandar dan kumpulan etnik sekiranya mereka mempunyai potensi berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik. Kerajaan menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak berkemampuan memastikan penghasilan yang sama. Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar.

Liberalisasi 27 aspek perkhidmatan juga menuju ke arah gagasan ini.

Logo 1Malaysia adalah logo melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.

Wednesday, January 20, 2010

Tokoh Malaysia

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad juga digelar sebagai "Dr. M" dan nama penanya Che Det) dilahirkan pada 20 Disember 1925 adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui negara ke arah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.

Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui peningkatan golongan miskin menjadi golongan pertengahan orang Melayu begitu ketara. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan tidak dapat lari dituduh bersifat kronisme seperti pemerintah-pemerintah lain didunia.

Beliau juga merupakan seorang tokoh politik penting antarabangsa yang suka berterus-terang dan disifatkan kontroversi. Beliau adalah seorang penganjur gagah nilai-nilai Asia — kapitalisme autokratik yang dianjurkan oleh negeri — sebagai alternatif kepada individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar berkecuali (laissez-faire).

Dr Mahathir telah bertanggungjawab dengan apa yang dipanggil pembangunan projek mega pada zaman pemerintahannya seperti projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor/MSC), yang akhirnya menjadi lambang kemegahan rakyat dan diterima ramai.

Dr. Mahathir juga telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Selepas lulus, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Government English School (GES), kini Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada tahun 1932. Beliau akhirnya lulus Sijil Tinggi Pelajaran (Senior Cambridge) di sekolah tersebut. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, Dr. Mahathir menghabiskan masanya dengan berniaga cendol, diikuti dengan membuka kedai kopi dan kemudiannya gerai buah-buahan di Pekan Rabu, Alor Setar.

Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, Singapura, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953. Selepas mendapat ijazah, beliau ditugaskan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia.

Sejarah Awal Malaysia

Sejarah awal Malaysia bermula dengan kewujudan manusia awal berusia 40,000 tahun yang ditemui di Kompleks Gua Mulu dan kompleks gua niah, Sarawak. Secara dasarnya sejarah negara ini telah melalui empat zaman utama sejarah manusia iaitu Prasejarah, Proto Sejarah, Zaman Pertengahan dan Zaman Kolonial.

Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui di Selat Melaka. Penemuan beberapa tapak arkeologi Zaman Proto Sejarah membuktikan wujud petempatan pesisir pantai seawal abad ke-2 Masihi lagi. Ia membawa kepada kemunculan kerajaan awal sebelum abad ke-10 adalah merupakan penemepatan pesisir pantai dan pelabuhan kecil. Ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Gangga Negara di Perak, dan Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat Melaka.

Manakala di Borneo pula, kewujudan kerajaan purba Marudu sebelum abad ke-13 Masehi dan Santubung lebih awal lagi membuktikan telah wujud entiti politik yang mendahului kewujudan Kesultanan Brunei dan kesultanan Sulu.

Thursday, January 14, 2010

Rukun Negara

Rukun Negara

Lima prinsip Rukun Negara diasaskan berikutan peristiwa Tragedi 13 Mei 1969 dalam usaha menggariskan falsafah negara bertunjangkan perpaduan dan kemajuan secara menyeluruh, di mana ianya berkonsepkan universal dan boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum etnik mahu pun anutan agama.


Antara objektif Rukun Negara adalah:

1. mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan rakyat Malaysia
2. mengekalkan cara hidup demokrasi
3. mewujudkan masyarakat adil di mana hasil kekayaan dibahagikan sama rata
4. membina masyarakat progresif yang berorientasikan sains dan teknologi moden

Prinsip Rukun Negara

Maka kami, rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tebaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita berikut:

1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan

Sejarah Malaysia

1957 hingga 1959


PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU ( 31/08/1957)

Tanah Melayu telah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada detik pertama pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, bagi menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Laungan "MERDEKA" telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama keesokan harinya tepat 9.30 pagi di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.


PERDANA MENTERI PERTAMA (31/08/1957)

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".


PENUBUHAN ARKIB NEGARA MALAYSIA (01/12/1957)